Keluarga terdekat Keluarga_Joe_Biden

Isteri

Neilia Hunter Biden

Rencana utama: Neilia Hunter Biden

Neilia Hunter Biden, isteri pertama Joe Biden, dilahirkan pada 28 Julai 1942. Pasangan ini berkahwin pada 27 Ogos 1966.[1] Selepas perkahwinan, mereka berpindah ke Wilmington, Delaware. Pasangan ini mempunyai tiga orang cahaya mata: Joseph Robinette "Beau" III, Robert Hunter dan Naomi Christina "Amy".[2] Biden sedang berkempen untuk menjadi Senator AS dari Delaware dan Neilia digambarkan oleh The News Journal sebagai "otak" kempennya.[1]

Pada 18 Disember 1972, tidak lama setelah suaminya menang pilihan raya senator, Neilia sedang memandu bersama Naomi, Beau, dan Hunter untuk membeli pokok Krismas. Malangnya, kereta mereka telah dilanggar sebuah traktor treler.[3] Neilia dan anak-anaknya kemudian dibawa ke Hospital Umum Wilmington. Neilia dan Naomi meninggal dunia selepas tiba di hospital tetapi kedua-dua anak lelakinya terselamat.[3][4] Biden mengangkat sumpah sebagai senator pada 3 Januari 1973 di hospital, tempat anak-anaknya dirawat.[1]

Jill Biden

Rencana utama: Jill Biden

Jill Tracy Jacobs Biden (nèe Jacobs, dulu Stevenson), isteri kedua dan terkini Joe Biden, dilahirkan pada 3 Jun 1951. Jill pertama kali bertemu dengan Biden dalam satu temu janji yang dirancang pada bulan Mac 1975.[5]

Joe dan Jill, sekitar tahun 1970-an

Jill dan Joe Biden berkahwin pada 17 Jun 1977 di Bandar Raya New York.[6] Mereka berkahwin kira-kira empat tahun selepas kematian isteri dan anak perempuan pertamanya.[7] Joe telah beberapa kali melamar Jill sebelum akhirnya beliau menerima lamaran tersebut. Jill ingin tetap fokus pada kerjayanya sendiri dan pada awalnya ragu-ragu untuk mengambil komitmen membesarkan dua anak lelaki Joe yang masih muda yang terselamat dalam kemalangan.[8]

Anak-anak

Joe Biden menjadi bapa kepada empat anaknya dari dua perkahwinan. Anak perempuan sulungnya, Naomi Christina Biden, meninggal dunia pada tahun 1972, dalam kemalangan maut dengan ibunya dan anak sulungnya, Joseph "Beau" R. Biden III meninggal dunia pada tahun 2015 setelah menderita barah otak. Dua anak Biden yang masih hidup termasuk satu anak lelaki dari perkahwinan pertamanya, Robert Hunter Biden dan seorang anak perempuan dari perkahwinan kedua, Ashley Blazer Biden.[9]

Beau Biden

Rencana utama: Beau Biden

Joseph "Beau" Robinette Biden III dilahirkan pada 3 Februari 1969, di Wilmington, Delaware. Dalam kemalangan kereta yang meragut nyawa ibu dan adiknya, Beau patah tulang. Namun, beliau terselamat setelah menghabiskan beberapa bulan menerima rawatan di hospital. Beau melanjutkan pengajar dari Archmere Academy, alma mater sekolah menengah bapanya dan Universiti Pennsylvania pada tahun 1991,[10] di mana beliau ialah anggota persaudaraan Psi Upsilon.[11] Beliau juga adalah lulusan Universiti Syracuse dan kemudiannya menjadi kerani untuk Hakim Steven McAuliffe dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di New Hampshire.[12] Dari tahun 1995 hingga 2004, beliau bekerja di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Philadelphia, pertama sebagai Peguam ke Pejabat Pembangunan Dasar dan kemudian sebagai pendakwa persekutuan di Pejabat Peguam A.S.[13][14]

Dalam jawatan pertamanya di pejabat politik, Biden mencalonkan diri sebagai Peguam Negara bagi negeri Delaware pada tahun 2006. Isu utama dalam kempen termasuk pengalaman calon dan cadangan untuk menangani pesalah seks, pemangsa Internet, penderaan warga emas dan penderaan rumah tangga. Biden memenangi pilihan raya dengan kira-kira lima mata peratusan.

Beau memainkan peranan aktif dalam kempen naib presiden bapanya pada tahun 2008. Beliau berucap di Konvensyen Nasional Demokratik setelah Joe Biden dicalonkan sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat. Beliau menceritakan kemalangan maut yang mengorbankan ibu dan adiknya dan komitmen ibu bapa seterusnya yang dibuat oleh bapanya kepada anak-anaknya, ucapan di mana banyak perwakilan menitiskan air mata.[15][16]

Pada 2 November 2010, dia dipilih semula untuk penggal kedua sebagai Peguam Negara bagi negeri Delaware, mengalahkan lawan, Doug Campbell.

Untuk beberapa tahun terakhir hidupnya, Biden menderita kanser otak.[17][18] Pada bulan Mei 2010, beliau dimasukkan ke Hospital Christiana di Newark, Delaware setelah mengadu sakit kepala. Pegawai mengatakan bahawa beliau mengalami "strok ringan".[18][19] Akhir bulan itu, Biden dipindahkan ke Hospital Universiti Thomas Jefferson di Philadelphia dan diletakkan di bawah pemerhatian selama beberapa hari.[19]

Pada bulan Ogos 2013, Biden dimasukkan ke Pusat Kanser Anderson MD University of Texas di Houston dan didiagnosis menghidap barah otak.[20] Biden menjalani rawatan radiasi dan kemoterapi dan barahnya tetap stabil. Pada 20 Mei 2015, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Tentera Kebangsaan Walter Reed di Bethesda, Maryland, kerana barah otak beliau kembali lagi. Beliau meninggal di sana sepuluh hari kemudian, pada 30 Mei 2015, pada usia 46 tahun.[21] Pengebumiannya diadakan di Gereja Katolik St. Anthony Padua di Wilmington, Delaware, pada 6 Jun 2015.[22] Beliau dikebumikan di tanah perkuburan St. Joseph on the Brandywine di Greenville, Delaware.[17]

Hunter Biden

Rencana utama: Hunter Biden

Robert Hunter Biden dilahirkan pada 4 Februari 1970, di Wilmington, Delaware. Beliau mengalami kecederaan pada tengkoraknya selepas terlibat dalam kemalangan maut bersama ibu dan adik-beradiknya. Bersama abangnya, Beau, beliau terselamat setelah berbulan-bulan mendapat rawatan. Seperti bapa dan abangnya, Hunter menghadiri Archmere Academy di Claymont, Delaware.[23] Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Sejarah dari Universiti Georgetown pada tahun 1992.[23] Setelah setahun menamatkan kuliah, beliau bertugas sebagai sukarelawan Jesuit di sebuah gereja di Portland, Oregon dan bertemu dengan Kathleen Buhle, yang beliau nikahi pada tahun 1993.[23] Beliau berpindah ke Universiti Yale sehingga graduasi beliau pada tahun 1996.[23]

Selepas itu, Hunter menerima jawatan di syarikat bank holding MBNA Amerika, penyumbang utama dalam kempen politik bapanya.[23] Menjelang tahun 1998, Biden telah dinaikkan pangkat ke naib presiden eksekutif.[23][24]

Semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat 2020, Hunter Biden menjadi sasaran pentadbiran Trump kerana hubungannya dengan syarikat pemegang Ukraine Burisma, dengan alasan bahawa Joe telah terlibat dalam nepotisme untuk mendapatkannya kedudukan.[25]

Naomi Biden

Naomi Christina Biden, nama panggilan "Amy", dilahirkan pada 8 November 1971, di Wilmington, Delaware. Beliau meninggal dunia dalam kemalangan dengan ibunya Neilia pada 18 Disember 1972, ketika beliau berusia lebih dari satu tahun.[3]

Ashley Biden

Rencana utama: Ashley Biden

Ashley Blazer Biden dilahirkan pada 8 Jun 1981 di Wilmington, Delaware. Beliau ialah satu-satunya anak dari perkahwinan kedua Joe Biden. Biden mendapat pendidkan di Wilmington Friends School, sebuah sekolah swasta di bawah Religious Society of Friends di Wilmington.[26] Semasa Biden berada di sekolah rendah, beliau mendapati bahawa syarikat kosmetik Bonne Bell telah menguji produknya pada haiwan. Beliau menulis sepucuk surat kepada syarikat yang meminta mereka mengubah dasar mereka mengenai bahan uji kaji terhadap haiwan. Beliau kemudian terlibat dalam pemuliharaan ikan lumba-lumba, memberi inspirasi kepada bapanya untuk bekerja dengan Anggota Kongres Barbara Boxer untuk menulis dan meluluskan Undang-Undang Maklumat Pengguna Perlindungan Ikan Lumba-Lumba 1990.[9] Biden membuat kemunculan di hadapan anggota Kongres Amerika Syarikat untuk melobi perundangan tersebut.[27] Beliau berkahwin dengan seorang doktor, Howard Krein.

Cucu-cucu

Natalie Biden di majlis angkat sumpah Joe Biden

Joe Biden telah berkahwin dua kali dan menjadi bapa kepada empat orang anak. Tujuh cucu beliau adalah dari kedua-dua anak lelaki beliau, lima dari Hunter dan dua dari Beau.

  • dari Beau Biden (Joseph R. Biden III) (1969–2015),[28]
    • Dua anak: Natalie dan Hunter.[17]
  • dari Hunter Biden (Robert Hunter Biden) (lahir 1970)
    • Tiga anak perempuan dengan Kathleen, isteri pertama beliau: Naomi, Finnegan dan Maisy.[29]
    • Hunter ialah bapa kandung dan sah seorang anak, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai NJR, dengan Lunden Roberts.[30][31]
    • Satu anak lelaki dengan Melissa, isteri kedua beliau: Beau[32]

Haiwan peliharaan

Biden membela dua ekor anjing baka German Shepherd, Champ dan Major.[33][34] Major ialah anjing penyelamat yang diambil oleh Joe dan Jill Biden pada tahun 2018. Champ lebih tua dari Major dan telah bersama keluarga Biden semasa Joe Biden menjadi Naib Presiden dari tahun 2009 hingga 2017.[35]

Salasilah keluarga terdekat

Neilia Hunter
1942–1972
Joseph Robinette "Joe" Biden Jr.
lahir 1942
Jill Tracy Jacobs
lahir 1951
Joseph Robinette "Beau" Biden III
1969–2015
Robert Hunter Biden
lahir 1970
Naomi Christina Biden
1971–1972
Ashley Blazer Biden
lahir 1981
Natalie Biden
lahir 2004
Robert Hunter Biden II
lahir 2006
Naomi Biden
lahir 1994
Finnegan Biden
lahir 2000
Maisy Biden
lahir 2001
NJR
lahir 2018
Beau Biden
lahir 2020


Rujukan

WikiPedia: Keluarga_Joe_Biden http://www.countyhistorian.com/knol/4hmquk6fx4gu-1... http://www.nashuatelegraph.com/news/1064915-469/be... http://www.philly.com/philly/news/20080827_Colleag... http://www.sandiegouniontribune.com/sdut-biden-eul... http://www.scrantontimes.com/articles/2008/08/24/n... http://www.uscannenbergmedia.com/2017/04/02/ashley... http://bigstory.ap.org/article/cd7d717ab72b486a946... //www.worldcat.org/issn/0307-1235 http://news.bbc.co.uk/2/hi/americas/7585384.stm https://www.ancestry.com/corporate/blog/bidens-tie...